Saturday, November 29, 2008

PERKAHWINAN MELAYU TERHEBAT ERA INI

Mohd. Nor tetap setia

Oleh NORMALA HAMZAH

HULU TERENGGANU 29 Nov. - Mohd. Nor Musa, suami Wook Kundor, 106, berikrar akan mempertahankan rumah tangganya dengan warga emas itu dan sanggup melalui susah senang bersama walau apa terjadi sekalipun.

Lelaki berusia 37 tahun itu menafikan khabar angin bahawa dia mempunyai wanita lain kerana perasaan sayangnya kepada Wook tidak luntur sedikit pun sejak mereka berkahwin tiga tahun lalu.

"Susah payah saya berkahwin dengannya buat apa tiba-tiba nak berpisah pula," katanya dalam pertemuan di rumah mereka di Kampung Tok Bat, Kuala Berang di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nor, dia ikhlas bernikah dengan Wook tiga tahun lalu kerana merasa terpanggil untuk melindungi wanita itu dan atas dasar kasih sayang.

"Semuanya bermula selepas saya putus tunang dengan seorang gadis yang mengikut lelaki lain. Dalam melayan hati yang sedih dan runsing saya selalu singgah ke rumah Wook.

"Saya berkongsi kesedihan putus tunang dengan Wook dan pada masa yang sama mendengar masalah dia yang hidup seorang diri. Lama kelamaan kami menjadi mesra dan timbul rasa sayang antara satu sama lain," tambahnya.

Tidak lama kemudian, kata Mohd. Noor, Wook mengajak dia bernikah kerana tidak mahu timbul fitnah masyarakat keliling.

"Saya ikhlas menerimanya kerana sayang dan juga atas dasar mahu bertanggungjawab menjaganya," kata Mohd. Noor.

Dia bagaimanapun sedar masyarakat mungkin memandang serong kepadanya dan menganggap dia mengambil kesempatan ke atas Wook tetapi dia reda jodohnya dengan wanita itu.

"Saya tidak kisah apa orang nak kata, yang penting kami bahagia," tambahnya yang membuat kerja kampung untuk menampung hidup mereka berdua.

Mohd. Noor juga menafikan perkahwinan mereka mendapat tentangan keluarga kedua-dua pihak sebaliknya mendapat restu bapa dan keluarganya.

"Sehingga kini hubungan saya dengan keluarga Wook baik begitu juga dengan keluarga saya. Mereka boleh menerima Wook seadanya,'' jelasnya.

"Macam saya kena hadapi kerenah isteri yang lebih tua dan telah 22 kali berkahwin, tentu kuat cabarannya. Ada masa saya boleh tahan, ada masa tercabar juga tetapi saya mengambil pendekatan mendiamkan diri dan tidak menjawab. Itu cara paling selamat," katanya.

No comments: